Pages

Thursday 3 May 2012

Masalah Peranakan Jatuh


JATUH organ peranakan (JOP) adalah satu perkara yang biasa berlaku di kalangan wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada mereka yang pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani berkata, JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung organ pada bahagian itu.


 
Jenis-jenis JOP

  • Bahagian atas/bumbung faraj - Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed)..
  • Bahagian hadapan faraj - Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan..
  • Bahagian belakang faraj - Sebahagian dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar. Keadaan ini dipanggil enterosele.
    Jika usus besar pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele.

Punca JOP


Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah:

  • Kehamilan dan bersalin
  • Usia dan menopaus
  • Obesiti
  • Ketumbuhan seperti fibroid yang besar
  • Batuk atau sembelit kronik

Simptom Dan Diagnosis

  • Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.
  • Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis.
  • Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.

Pencegahan

  • Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera.
  • Melakukan senaman pelvik adalah amat penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang.
  • Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik air.
  • Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu.
  • Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik.
  • Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.

Petikan dari Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...